Jumaat, 24 April 2009

RENUNGAN JUMAAT-KISAH SAIDINA UTHMAN

Amat sedih sekali dan begitu menyayat hati apabila membaca kisah Saidina Uthman mati dibunuh. Beliau dibunuh oleh sekumpulan pemberontak yang dikatakan datang dari Mesir. Tujuan asal mereka datang ialah untuk meminta Khalifah meletak jawatan atau memperbetulkan polisi yang dikatakan mengamalkan kronisme. Sebenarnya mereka telah diperdaya dan dihasut oleh Abdullah bin Saba' (Seorang Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam (munafik) yang merancang untuk menjahanamkan Islamdari dalam ),Ia pernah dihalau oleh Muawiyah yang menjadi Gabenor di Syam setelah dapat mengesan peranan jahatnya, selepas itu ia telah lari ke Mesir dan memainkan peranan jahat di sana pula.

Setelah berbincang dengan Khalifah, Khalifah menolak gesaan supaya meletak jawatan tersebut dan mereka pun beransur pulang. Dipertengahan jalan satu kumpulan lain yang telah dirancang awal telah menangkap seorang pembawa surat yang ada cop mohor khalifah. Isi surat tersebut ialah mengarahkan Gabenor Mesir membunuh kumpulan yang datang mendesak Khalifah Uthman tadi setelah mereka tiba di Mesir. Apabila mereka mendapat tahu, mereka terus berpatah balik dan mengepung rumah Khalifah dan membunuhnya. Khalifah tidak melawan, isterinya cuba mempertahankannya sehingga putus empat jari.

Sebenarnya surat berkenaan dan cop yang digunakan telah dipalsukan oleh perancangan teliti golongan Munafik. Ramai Sahabat dan orang Islam sendiri terpedaya dengan helah puak munafik ini yang pandai memainkan peranan untuk melaga-lagakan umat Islam. Selepas kematian Uthman, ramai sahabat yang menyesal termasuk Saiyidah Aisyah kerana tidak mempertahankan Uthman, malah mengkritiknya dengan begitu hebat sebelum ini. Selepas kematian Uthman, barulah mereka bangun mendesak Khalifah Ali untuk menghukum pemberontak tersebut.

Sesungguhnya Saidina Uthman adalah sahabat nabi yang sangat mulia, beliau berkahwin dengan dua puteri Rasulullah selepas kematian Ruqayyah, dikahwinkan pula dengan Ummi Kalthum. Kalau bukan kerana ketaqwaan dan budi pekerti yang baik, mana mungkin Rasulullah akan mengahwinkan dua puterinya.

Pengajaran yang ingin disampaikan. Kita jangan mudah terikut dengan hasutan dan tipu daya golongan yang ingin meruntuhkan. Kesatuan, bersatu hati dan diberi nilai tambah keikhlasan adalah asas kejayaan.

Tiada ulasan: